Home Aktiviti Warga Cakna Krisis Syria Adalah Nadi Umat

Krisis Syria Adalah Nadi Umat

156
Winter Aid Syria

Perbezaan kita dengan mereka adalah sempadan geografi. Sepatutnya mereka mempunyai hak yang sama sebagai seorang manusia. Tetapi peperangan dan kemelut geografi itulah yang menjadikan mereka terus teraniaya. Dahulunya mereka hidup mewah di bumi sendiri – Syria. Namun kini terbuang dan merempat di negeri orang – Turkey.

.

Erdogan mencadangkan zon selamat bagi pelarian Syria yang sekarang ini berada di negara mereka. Zon selamat ini seluas 30 km dan sepanjang 480 km sempadan antara Syria dan Turkey.

.

Masalah timbul kerana pertelingkahan antara dua pihak yang membantah, iaitu tentera kerajaan Syria dan pasukan pembebasan Syria. Kemelut ini dirumitkan lagi dengan campurtangan pejuang Kurdish yang sejak sekian lama menuntut kebebasan dari Turkey.

.

Amerika Syarikat yang sebelum ini memberi sokongan kepada kumpulan pembebasan Kurdish ini, tetapi mulai menarik diri kerana desakan dari Turkey ingin membuka sempadan kepada pelarian masuk ke negara Eropah jika zon selamat ini tidak disokong oleh dunia.

.

Perjanjian demi perjanjian dimeterai bagi menyelesaikan krisis yang sudah masuk 9 tahun ini. Isunya hanya Syria, tetapi melibatkan geo-politik dunia yang tidak berkesudahan.

.

Namun konflik peperangan Syiria dan penderitaan pelarian rakyatnya semakin dilupakan. Selepas lapan tahun berlalu, keperitan hidup mereka hanya dikongsi oleh para pengunjung dan relawan yang sudi bertandang dikawasan penempatan pelarian. Pelarian di Rayhanli, Antakya sempadan Turki boleh dikatakan sedikit bertuah kerana Negara Turki banyak membantu. Begitu juga dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak menghulurkan bantuan.

.

Akan tetapi masih ramai lagi rakyat Syria yang masih berada di dalam negara mereka. Lebih dari 6 juta pelarian yang mencari kawasan selamat dalam negara mereka sendiri. Hidup dalam serba kedaifan dan sumber asas yang menyedihkan. Mereka tidak dapat keluar ke Turki atau negara-negara lain kerana banyak sekatan demi sekatan yang dikenakan. Ditambahi dengan pergolakan peperangan yang lebih menyukarkan mereka bergerak.

.

Imbas kembali kenapa tercetusnya perang di Syria ini. Ianya bermula dengan lukisan mural dinding sekolah yang menulis “Your Turn, Doctor”. Mural itu dilukis oleh seorang remaja berumur 14 tahun bernama Naief Abazid di Bandar Daraa. Tulisan ringkas itu memberi impak besar kerana ianya merujuk kepada beberapa kejatuhan kerajaan di Timur tengah pada ketika itu. Kebangkitan “Arab Spring” memuncak sehingga jatuhnya kerajaan Tunisia, Libya dan Mesir. Justeru lukisan mural itu merujuk kepada Presiden Bashar al-Assad (seorang doktor pergigian) dan regimnya akan dijatuhkan oleh kebangkitan rakyat.

.

As syahid Naief Abazid dan beberapa remaja lain lagi telah ditangkap, disiksa dan dibunuh dengan kejam. Rakyat Syria terus bangkit untuk menuntut keadilan sehingga terbentuknya beberapa kumpulan jihad yang berjuang membebaskan Syria dari kekejaman Bashar al Asad. Akhirnya tercetusnya peperangan yang berlarutan sehingga sekarang. Rakyat yang lemah terus terhimpit dengan konflik ini. Dianggarkan seramai 350,000 hingga 500,000 mati akibat peperangan ini. Keseluruhan rakyat Syria yang terlibat dalam konflik ini mencecah 13 juta orang. Seramai 6.1 juta mangsa masih lagi berada dalam zon perang. Mereka ibarat seperti telur dihujung tanduk, menunggu jemputan syahid bila-bila masa sahaja. Satu jumlah yang besar yang memerlukan satu solusi untuk membantu mereka keluar dari konflik yang berpanjangan ini.

.

Konflik ini bukan melibatkan permusuhan mazhab. Walau tidak dinafikan pemerintah Syria dikuasai oleh golongan Syiah dan para rakyat yang menuntut kebebasan pula bermazhab Sunni. Namun isu yang utama adalah ketidakadilan, kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh pemerintah. Inilah mesej yang cuba dibawa oleh para pejuang yang berjuang di bumi Syria.

.

Kemampuan kita hanya membantu mangsa pelarian. Kita mengumpulkan sumbangan samas seriyal yang dikutip setiap tahun akan diberikan kepada mangsa-mangsa pelarian Syria samada melalui Turki, Jordan atau Lubnan. Kempen bantuan musim sejuk seperti ini kita lakukan kerana menyedari mereka berada dalam keadaan yang dhaif dan amat-amat mendesak. Musim sejuk adalah bencana bagi mereka. Tidak dapat bergerak mencari sesuap makanan kerana kesejukan dan salji. Terdapat kes kanak-kanak mati akibat terlalu sejuk. Suhu di bawah paras beku dan kanak-kanak menjadi mangsa sejuk melampau itu.

.

Misi bantuan #WinterAidSyria pada tahun ini berjaya dikutip sehingga mencecah lebih RM500 ribu. Kita telah sempurnakan amanah ini dengan membeli barang-barang keperluan harian, baju sejuk, selimut tebal, peralatan sekolah, alat pemanas dan wang perbelanjaan sepanjang musim sejuk.

.

Semoga sumbangan dari para penderma terus mengalir sebagai satu jihad harta dan dikira sebagai amalan soleh.

Sekian catatan dari

Dr Suhazeli Abdullah

Ketua Delegasi #WinterAidSyria