Mabuhay Mindanao

Pertemuan terakhir saya dengan sahabat-sahabat Basilan adalah 6 tahun lepas. Walaupun program Qurban ini setiap tahun dijalankan, tetapi selepas 2012 saya tidak ke Mindanao samada Bandar Marawi, Lanao Del Sur atau Bandar Isabela, Basilan. Sebaliknya saya dan rakan² ke Sudan bermula 2013 hingga 2017. Kerinduan untuk kembali semula ke Mindanao disemat setiap tahun. Alhamdulillah tahun ini kami sempat melaksanakan ibadah qurban di Basilan.

Niat tulus qurban luar negara adalah membantu sahabat seakidah kita di negara terbabit bagi merasai nikmat daging lembu. Hanya semasa hari raya qurban adalah masa yang sesuai untuk mereka menyembelih haiwan qurban. Walaupun Sudan adalah salah satu negara pengeksport terbesar lembu ke negara² Arab, tetapi rakyat mereka sendiri miskin dari mengecapi daging.

Mindanao pula, rakyatnya terhimpit dalam menuntut hak kemerdekaan sejak sekian lama. Tiada pembangunan ketara kerana sosio-politik yang tidak menentu. Perjuangan rakyat Bangsamoro untuk mendapat kuasa autonomi terlalu panjang. Akibat dari kepayahan mereka untuk bebas dan merdeka, pertumbuhan ekonomi terbantut. Rakyat wilayah Mindanao termasuk Basilan, Sulu, Tawi-Tawi, Marawi dan beberapa daerah lain lagi tidak boleh menjana mata pencarian dengan sempurna. Dikatakan Mindanao kaya dengan sumber asli emas dan minyak, namun kancah pergelutan kuasa menyebabkan usaha pembangunan tergendala.

Justeru, niat pasukan qurban ke sana saban tahun bagi membantu mereka sekadar mampu. Semoga niat murni ini senantiasa disemat dalam setiap jiwa rakyat Malaysia untuk terus membantu kami demi membantu mereka. Kehadiran kami bukan semata-mata membawa bahagian qurban, tetapi sumbangan kepada fakir miskin dan sekolah agama turut diberikan. Kami juga membawa naskah Al Quran yang diwakafkan oleh rakyat Malaysia untuk diberikan kepada pelajar tahfiz.

Menarik untuk dikongsikan kisah sosio-politik Bangsamoro, Mindanao. Perjuangan menuntut hak kuasa pemerintahan sendiri tidak pernah lekang dikalangan para pejuangnya sejak 1898 lagi. Sebermula dengan penjajahan Sepanyol hinggalah penaklukan Amerika, Bangsamoro tidak putus² memperjuangkan hak. Walaupun Filifina mendapat kemerdekaan dari Amerika tahun 1946, Mindanao masih lagi dipengaruhi kuasa politik dari Manila. Sepertimana yang kita ketahui, Wilayah muslim Mindanao termasuk Tawi-tawi, Sulu dan Basilan itu sendiri sebenarnya tidak pernah terjajah oleh Sepanyol mahupun Amerika. Tetapi perjanjian kemerdekaan oleh Amerika pada julai 1946, memasukkan wilayah Islam itu sebagai sebuah negara Filifina yang merdeka. Bermula dari situ, kuasa pentadbiran politik Mindanao dikawal oleh Manila, tidak lagi Kerajaan Sulu. Saya mendapat maklumat dari wakil United Bangsamoro Justice Party (UBJP) bahawa proses untuk mendapatkan kuasa politik sedang giat dijalankan. Sejak 2013 UBJP ditubuhkan bagi menjadikan Bangsamoro mempunyai sayap politik demi kesinambungan perjuangan mereka sejak berkurun lamanya.

Bangsamoro sudah mula mengorak langkah kepada perjuangan perdamaian dengan Manila, tidak lagi mengangkat senjata seperti sebelum ini. Sudah ramai para syuhada gugur demi mendapatkan hak daulat tanah nenek moyang mereka sendiri. Hasilnya amat memilukan mereka.

Dianggarkan awal tahun hadapan, rakyat wilayah Mindanao, secara khususnya Basilan, Lanao Del Sur, Maguindanao, Sulu dan Tawi-tawi akan mempunyai undang² tersendiri. Memoradum rakyat dari Wilayah Mindanao yang 70% muslim akan diadakan pada awal Januari 2019. Bangsamoro Organic Law (BOL) akan menggantikan Autonomous Region in Muslim Mindanao (ARMM) jika majoriti rakyat mengundi untuk menyokongnya pada tahun 2019 nanti.

Dalam tempoh tiga tahun (2019 hingga 2022) rakyat Mindanao akan diperhatikan oleh Manila dan dunia luar bagi persediaan pilihanraya umum pertama nanti pada tahun 2022. Jika proses berjalan lancar, rakyat Mindanao akan mempunyai perwakilan tetap suara muslim di Parlimen Manila. Mereka menuntut paling minima 3 ahli Parlimen berstatus menteri bagi mewakili komuniti Islam di Selatan Filifina. Mereka masih lagi di bawah kerajaan Pusat Manila dan dalam masa sama kuasa pemerintahan akan lebih kukuh. Pertumbuhan ekonomi dan politik akan lebih stabil.

Kita doakan perjuangan sahabat kita di sana mendapat kejayaan cemerlang.

Catatan dari
Dr Suhazeli Abdullah
Ketua Delegasi
#QurbanImanCare
#QurbanBasilan2018

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published.