Kenapa Qurban di Kenya?

Sdr Mohamed Ziad Hafiz adalah pemuda kelahiran Kenya yang sekarang bermastautin di UK. Ayah beliau asalnya dari Pakistan, kemudian menjalankan kerja dakwah ke negara Afrika termasuk Kenya. Ayah beliau menjadi guru agama di Kenya beberapa tahun, kemudian mendapat tawaran menjadi guru agama dan imam di UK. Semua keluarga berpindah ke UK sejak umur Sdr Mohammed Ziad kanak-kanak lagi. Namun hubangan keluarga mereka masih rapat dengan penduduk Islam di Kenya. Boleh dikatakan Sdr Mohammed Ziad dan NGO beliau (Mountain of Mercy UK – https://www.facebook.com/groups/mountainofmercy/) sering turun ke Kenya untuk menyampaikan bantuan samada dalam bentuk makanan mahupun perkhidmatan air bersih.
Sudah beberapa kali beliau mesej saya dan sekali kami bertemu di UK pada tahun 2016. Beliau menyarankan saya agar NGO yang saya pimpin bantu rakyat Kenya yang menjadi pelarian akibat kancah perang. Sejak dari itu saya telah memulakan persediaan dengan membuat kertas kerja dan berbincang dengan Presiden Yayasan Amal Malaysia untuk memberi kebenaran agar kita turun ke sana. Namun hasrat dari tahun ke tahun tidak kesampaian dek kerana tumpuan di negara-negara bergolak lain seperti Sudan, Uganda, Mindanao, Rohingya dan Kemboja lebih diutamakan.
Tahun ini, politik di Sudan tidak menentu dengan berlakunya rampasan kuasa tentera. Maklumat yang kita perolehi mendapati, kemelut politik semasa kian meruncing dan amat tidak selamat jika program qurban dilaksanakan di Kasalla, Gardarif mahupun Selatan Sudan. Sedangkan pada peringakt awal kita bernekad untuk turun ke Sudan buat sekian kalinya di sana.
Pada awal tahun 2018, saya diberi amanah untuk memimpin sebuah NGO baharu, Persatuan Prihatin Warga Terpinggir Terengganu (Warga Cakna). NGO ini bertujuan mengumpulkan ahli yang sukarela memberikan bantuan tenaga, wang dan masa untuk membantu masyarakat yang dinafikan hak. Beberapa program dalam Terengganu dan luar telah, sedang dan akan dirancang. Boleh lihat akitiviti Warga Cakna di https://www.wargacakna.org/. Melalui platform ini kita mengorak langkah yang lebih luas untuk membantu masyarakat yang tertindas dalam negeri dan luar negeri.
Pada kali ini saya menyeru kepada semua untuk mendokong Warga Cakna demi membantu mereka yang dalam kedhaifan. Qurban pada kali ini kita memilih Kenya sebagai destinasinya. Hasil maklumat yang Sdr Mohammed Ziad berikan kepada kami, terdapat lebih 260,000 pelarian dari Kenya dan Somalia berada di sempadan kedua-dua negara tersebut. Krisis perang saudara dan kepuakan yang tidak berkesudahan antara mereka, rakyat menjadi mengsa. Ramai yang kebuluran dan kelaparan. Semoga dengan sedikit usaha yang dilakukan oleh Warga Cakna dan bantuan penyertaan Qurban & Aqiqah dari kita yang mewah, setidak-tidaknya para pelarian dapat menguntum senyum di pagi Eidul Adha.
Fastabikul Khairaat
Suhazeli bin Abdullah
Ketua Delegasi Misi Qurban Kenya 2019
#CaknaQurban2019