Posts

Inilah Usaha Kerdil Warga Cakna

Ini kisah kita sebagai NGO berdepan dengan COVID-19.

.

Pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP fasa 1), 18hb Mac kita cuba bertandang ke Bilik Gerakan COVID-19 Hospital untuk bertanya khabar. Sebagai rakyat yang prihatin, kita mendapat maklumat bahawa sejumlah tertentu pesakit kategori PUI dimasukkan ke wad. Berat tanggungan yang diterima oleh anggota kesihatan yang bertungkus lumus berada di barisan hadapan telah dikongsi oleh kami. Namun demi tugas, mereka teruskan perjuangan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

.

Terdapat kekangan utama para petugas, iaitu tidak sempat untuk keluar cari makanan pagi, tengahari dan malam mereka. Atas kesibukan menguruskan pesakit, terdapat petugas yang tidak dapat menjamah makanan langsung. Tetapi tidaklah sampai kebuluran seperti pelarian Kenya sebagaimana yang pernah kami lihat.

.

Makanan sajian dapur hospital? Ya ada disediakan, tetapi masih tidak mencukupi dek kerana jumlah petugas tambahan dari klinik-klinik kesihatan berubah-ubah. Menyebabkan penyediaan sajian dapur tidak sekata. Siapa cepat dia dapat.

.

Lalu kami mendepa tangan, beri peluang kepada masyarakat yang pernah ikuti perkembangan usaha kami. Kami berjanji kepada pihak pengurusan bilik gerakan untuk sama-sama menampung mana yang tidak cukup. Alhamdulillah surat rasmi kita hantar untuk memudahkan urusan penyediaan juadah makanan lebih lancar. Pihak hospital bersetuju.

.

Lantas kami all out adakan kempen maya seperti biasa. Jika rakyat Syria kesejukan dapat kita kumpul ratusan ribu ringgit, jika rakyat Gaza yang senantiasa di bom, kita bantu walaupun mereka jauh beribu batu, begitulah juga pelarian Sudan, Kenya, Somalia, Ethiopia di tengah benua Afrika sanggup kita hantar sekampit beras — Apa salahnya wira dan wirawati rakyat kita sendiri dihulurkan bantuan sekadar mampu?

.

Terkejut kami, tak sampai 24 jam #DanaPrihatin #Covid19 dilancarkan, sudah masuk ribuan ringgit. Terima kasih semua! Sememangnya rakyat Malaysia amat pemurah.

.

Apa lagi! Kita terus menyusun jadual untuk penyediaan sajian makanan melalui

🏩bilik gerakan COVID-19 Hospital,

🏪bilik gerakan COVID-19 pejabat kesihatan

🏫Klinik-klinik.

👮‍♀️Polis dan Tentera

.

❤️Matlamat kita adalah kebajikan mereka terjamin. Hasrat kita adalah mereka tidak perlu rungsing bab sajian makanan, kita akan bantu lengkapkan mana yang tidak mencukupi.

.

🧡Cita-cita utama kita adalah semua mengambil peranan dalam berlawan dengan virus #Covid19 yang digeruni itu.

.

💚Para petugas berdepan dengan pesakit, kita sebagai NGO dan sokongan masyarakat saling melengkapi.

.

👏Dalam tempoh berbaki sehingga 14.4.2020 nanti, sumbangan masih diteruskan. Derma dari tuan puan masih didambakan bagi meneruskan kelangsungan PKP fasa 2 dan seterusnya.

.

Setelah seminggu fasa kedua PKP, kita dapat rintihan dari penduduk ceruk kampung, mereka kehabisan bekalan makanan. Belanja seharian pun berkurangan. Sebelum ini kebanyakan mereka kais pagi makan pagi, apabila duit samas seriyal bawah bantal sudah habis, terkapai-kapai pula mendapatkan sesuap nasi. Setelah berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Maidam, sumbangan kepada golongan yang terpinggir dari liputan kerajaan itu kita hulurkan. Sempat kita beli barangan harian dari Sabasun dan agihkan kepada penama yang telah kita senaraikan.

.

Alhamdulillah, Akhir-akhir ini kita melihat sudah ramai NGO yang juga membuka tabung dan terjun ke medan untuk membantu pihak kerajaan. Semuanya menjuruskan kepada satu objektif, bersama denyut nadi untuk menghapuskan COVID-19 di bumi Malaysia.

.

🙌Doakan pergerakan kami.

.

Dr Suhazeli Abdullah

Pengerusi

Warga Cakna

www.wargacakna.org

Fb.com/wargacakna.org

https://www.youtube.com/watch?v=mUQLiCKWyVA&feature=share

Hantar makanan covid-19

Terima kasih atas Sumbangan Dana Prihatin