Posts

Cakna Mangsa COVID-19 Mindanao

Awal bulan April lalu, sahabat baik saya dari Mindanao hantar mesej wasap, “Salam, if you have means, we need badly relief assistance. Poor people can’t go for their daily needs like sidewalk vendors, etc, only food store now open here and pharmacies. Thanks.”

.

Sahabat saya Tony (Nama Filipina) adalah seorang muslim yang kuat beribadah. Beliau adalah wakil NGO rasmi Bangsamoro yang selalu hubungi saya untuk membuat program kemasyarakatan terutama program Qurban aqiqah yang diadakan setiap tahun. Saya tahu beliau jujur dan tidak pernah meminta-minta.

.

Tetapi dengan wabak COVID-19 yang berlaku seluruh dunia ini, kehidupan masyarakat Mindanao lebih lagi terkesan. Mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan. Bayangkan pada awal bulan April lalu sudah 111 kematian akibat COVID-19 seluruh Filipina. Hari ini sudah mencecah 7579 kes dan 501 kematian. Lebih membimbangkan lagi, pergerakan mereka amat terhad, sehinggakan Presiden Filipina memberi amaran akan menembak sesiapa sahaja yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan negara mereka.

.

Saya bersyukur dan terima kasih kepada individu yang sanggup memberi sumbangan zakat kepada masyarakat Mindanao. Sesungguhnya Allah menyayangi kita selagi kita melakukan kebajikan kepada makhluk lain. Berkat sungguh kehidupan beliau nanti. Doakan.

.

Kita pun sedar negara kita juga perlukan sumbangan dan bantuan, kerana masyarakat yang miskin ada di mana-mana, tetapi khusus beliau hulurkan duit ini untuk mereka yang berada di Selatan Filipina itu. Bertuah sungguh. Apa lagi? Saya terus transfer duit ke akaun sahabat Mindanao itu supaya diagihkan kepada individu yang amat memerlukan.

.

Hari ini terlaksana, mereka telah berjaya menerima sumbangan duit untuk menampung kehidupan yang serba mencabar.

.

Mesej beliau pagi ini: “We distributed it to the selected distressed mothers within Isabela City, and other areas in Basilan. On behalf of all recipients we extend our THANKS AND GRATITUDE to the leadership of Warga Cakna on their untiring and sincerest concerned of the lives of Bangsamoro people in Southern Philippines.”

.

Saya pulangkan balik terima kasih itu kepada anda semua. Warga Cakna hanya perantara bagi meneruskan kesinambungan ibadah sedekah di bulan yang mulia ini.

.

Suhazeli Abdullah

www.wargacakna.org

27.4.2020

Mabuhay Mindanao

Pertemuan terakhir saya dengan sahabat-sahabat Basilan adalah 6 tahun lepas. Walaupun program Qurban ini setiap tahun dijalankan, tetapi selepas 2012 saya tidak ke Mindanao samada Bandar Marawi, Lanao Del Sur atau Bandar Isabela, Basilan. Sebaliknya saya dan rakan² ke Sudan bermula 2013 hingga 2017. Kerinduan untuk kembali semula ke Mindanao disemat setiap tahun. Alhamdulillah tahun ini kami sempat melaksanakan ibadah qurban di Basilan.

Niat tulus qurban luar negara adalah membantu sahabat seakidah kita di negara terbabit bagi merasai nikmat daging lembu. Hanya semasa hari raya qurban adalah masa yang sesuai untuk mereka menyembelih haiwan qurban. Walaupun Sudan adalah salah satu negara pengeksport terbesar lembu ke negara² Arab, tetapi rakyat mereka sendiri miskin dari mengecapi daging.

Mindanao pula, rakyatnya terhimpit dalam menuntut hak kemerdekaan sejak sekian lama. Tiada pembangunan ketara kerana sosio-politik yang tidak menentu. Perjuangan rakyat Bangsamoro untuk mendapat kuasa autonomi terlalu panjang. Akibat dari kepayahan mereka untuk bebas dan merdeka, pertumbuhan ekonomi terbantut. Rakyat wilayah Mindanao termasuk Basilan, Sulu, Tawi-Tawi, Marawi dan beberapa daerah lain lagi tidak boleh menjana mata pencarian dengan sempurna. Dikatakan Mindanao kaya dengan sumber asli emas dan minyak, namun kancah pergelutan kuasa menyebabkan usaha pembangunan tergendala.

Justeru, niat pasukan qurban ke sana saban tahun bagi membantu mereka sekadar mampu. Semoga niat murni ini senantiasa disemat dalam setiap jiwa rakyat Malaysia untuk terus membantu kami demi membantu mereka. Kehadiran kami bukan semata-mata membawa bahagian qurban, tetapi sumbangan kepada fakir miskin dan sekolah agama turut diberikan. Kami juga membawa naskah Al Quran yang diwakafkan oleh rakyat Malaysia untuk diberikan kepada pelajar tahfiz.

Menarik untuk dikongsikan kisah sosio-politik Bangsamoro, Mindanao. Perjuangan menuntut hak kuasa pemerintahan sendiri tidak pernah lekang dikalangan para pejuangnya sejak 1898 lagi. Sebermula dengan penjajahan Sepanyol hinggalah penaklukan Amerika, Bangsamoro tidak putus² memperjuangkan hak. Walaupun Filifina mendapat kemerdekaan dari Amerika tahun 1946, Mindanao masih lagi dipengaruhi kuasa politik dari Manila. Sepertimana yang kita ketahui, Wilayah muslim Mindanao termasuk Tawi-tawi, Sulu dan Basilan itu sendiri sebenarnya tidak pernah terjajah oleh Sepanyol mahupun Amerika. Tetapi perjanjian kemerdekaan oleh Amerika pada julai 1946, memasukkan wilayah Islam itu sebagai sebuah negara Filifina yang merdeka. Bermula dari situ, kuasa pentadbiran politik Mindanao dikawal oleh Manila, tidak lagi Kerajaan Sulu. Saya mendapat maklumat dari wakil United Bangsamoro Justice Party (UBJP) bahawa proses untuk mendapatkan kuasa politik sedang giat dijalankan. Sejak 2013 UBJP ditubuhkan bagi menjadikan Bangsamoro mempunyai sayap politik demi kesinambungan perjuangan mereka sejak berkurun lamanya.

Bangsamoro sudah mula mengorak langkah kepada perjuangan perdamaian dengan Manila, tidak lagi mengangkat senjata seperti sebelum ini. Sudah ramai para syuhada gugur demi mendapatkan hak daulat tanah nenek moyang mereka sendiri. Hasilnya amat memilukan mereka.

Dianggarkan awal tahun hadapan, rakyat wilayah Mindanao, secara khususnya Basilan, Lanao Del Sur, Maguindanao, Sulu dan Tawi-tawi akan mempunyai undang² tersendiri. Memoradum rakyat dari Wilayah Mindanao yang 70% muslim akan diadakan pada awal Januari 2019. Bangsamoro Organic Law (BOL) akan menggantikan Autonomous Region in Muslim Mindanao (ARMM) jika majoriti rakyat mengundi untuk menyokongnya pada tahun 2019 nanti.

Dalam tempoh tiga tahun (2019 hingga 2022) rakyat Mindanao akan diperhatikan oleh Manila dan dunia luar bagi persediaan pilihanraya umum pertama nanti pada tahun 2022. Jika proses berjalan lancar, rakyat Mindanao akan mempunyai perwakilan tetap suara muslim di Parlimen Manila. Mereka menuntut paling minima 3 ahli Parlimen berstatus menteri bagi mewakili komuniti Islam di Selatan Filifina. Mereka masih lagi di bawah kerajaan Pusat Manila dan dalam masa sama kuasa pemerintahan akan lebih kukuh. Pertumbuhan ekonomi dan politik akan lebih stabil.

Kita doakan perjuangan sahabat kita di sana mendapat kejayaan cemerlang.

Catatan dari
Dr Suhazeli Abdullah
Ketua Delegasi
#QurbanImanCare
#QurbanBasilan2018